|
Penekanan aspek integrasi nasional dalam gagasan Sabah Baru adalah merupakan satu keprihatinan yang positif. Integrasi nasional mengharapkan satu masyarakat Malaysia berbilang kaum yang toleran dan mempunyai persekitaran yang sihat supaya dapat mewujudkan keamanan dan kestabilan yang berkekalan.
Pada umumnya, walaupun Malaysia menikmati ketenangan dari segi keharmonian kaum, tetapi ketegangan boleh meledak dan mengakibatkan persengketaan sekiranya tiada usaha memupuk dan memelihara situasi ini mengikut keperluan semasa.
Dalam konteks Sabah Baru, sebuah negeri yang maju, aman dan stabil dengan mempraktikkan konsep bersih, cekap dan amanah, hijrah kepada yang terbaik perlu dicakupi. Oleh itu, strategi-strategi ke arah pendidikan mental-rohani dan pendidikan kenegaraan perlu dijurus dan ditekankan.
Memandangkan keupayaan bahasa dan kesusasteraan sebagai senjata yang cukup ampuh untuk menembusi sempadan politik, geografi, budaya dan kepercayaan, keistimewaan ini perlu digunakan untuk memupuk semangat integrasi nasional dalam konteks Sabah Baru. Telah terbukti bahawa karya-karya sastera dapat menjadi alat yang cukup berkesan dalam meniup semangat kemerdekaan, kecintaan terhadap tanah air, malah menyemarakkan api kebencian terhadap penjajahan dan kekejaman di mana-mana negara jua. Tidak kurang juga api perkauman dan permusuhan dapat dipadamkan dengan menggunakan ketajaman pena para sasterawan. Kerana itu sudah sewajarnyalah kerajaan memberikan perhatian yang serius terhadap perkembangan kebahasaan dan kesusasteraan di negeri ini.
DBP Cawangan Sabah menyedari bahawa satu badan khusus harus ditubuhkan untuk menangani masalah perancangan, penyelarasan dan pelaksanaan dasar dan kemajuan bahasa dan kesusasteraan di Sabah. Dalam hal ini, DBP Cawangan Sabah tidak berupaya bertindak sendirian tanpa sokongan dan bantuan jabatan-jabatan kerajaan negeri dan persekutuan, persatuan-persatuan penulis dan tokoh korporat serta sasterawan. Semua pihak harus berganding bahu dalam usaha memaju dan mengembangkan bidang bahasa dan kesusasteraan di negeri Sabah ini. Kerjasama itu tentu tercapai di bawah satu badan yang dapat membuat perancangan, penyelarasan dan pelaksanaan dasar dan kemajuan kesusasteraan di Sabah.
Sesuai dengan keperluan gagasan Sabah Baru khususnya menyedari hakikat sastera sebagai alat yang universal sifatnya, yang dapat merentasi sempadan geografi, politik dan budaya, juga untuk meningkatkan mutu penghasilan dan menyemarakkan dunia kebahasaan dan kesusasteraan di Sabah, maka badan perancang, penggerak dan penyelaras ini telah ditubuhkan dan dinamakan;
"MAJLIS BAHASA DAN SASTERA SABAH"
|
|